TUNGGAKAN NAFKAH ISTERI

Bolehkah isteri memohon tunggakan nafkah?  Undang-undang Islam telah menetapkan bahawa tanggungjawab pemberian nafkah merupakan kewajiban pihak suami. Kelalaian, kecuaian atau kegagalan pihak suami dalam menjalankan tanggungjawabnya adalah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang Syariah. Firman Allah SWT yang bermaksud :

 ‘….hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya’                                                                                                                                             (al-Talaq 7)

 Seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa :

( 1)    Tunggakan nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan,  jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar dari harta pusakanya.
(2)    Tunggakan nafkah yang tak bercagar yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri di sisi undang-undang itu.


Kewajipan membayar nafkah kepada isteri dikira apabila berlakunya akad pernikahan selama mana isteri masih taat kepada suami iaitu isteri tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah. Sekiranya suami gagal menyediakan nafkah kepada isteri sedangkan isteri taat dan menjaga maruah suami, tuntutan nafkah atau tuntutan tunggakan nafkah boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Syariah tempat pihak-pihak bermastautin. Isteri perlu membuktikan kepada Mahkamah bahawa sepanjang pernikahan tersebut, suami telah gagal menyediakan nafkah.
Pihak isteri perlu sedar akan hak-hak mereka manakala pihak suami perlu lebih arif dan peka tentang kewajipan dan tanggungjawab suami kepada isteri. Sayangi keluarga anda.