NEGERI SELANGOR
ENAKMEN 2 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI
SELANGOR) 2003
Mengandungi pindaan terkini – Sel. En. 13/2003



BAGAIMANAKAH HAK KELAYAKAN PENJAGAAN HILANG
Seksyen 83. Kelayakan-kelayakan yang perlu untuk penjagaan.
Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika-
(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalah sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
Seksyen 84. Bagaimana hak penjagaan hilang
Hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang-
(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d) jika perempuan itu murtad;
(e) jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.
Seksyen 87. Kuasa Mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan
(1) Walau apa pun peruntukan seksyen 83, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan perintah memilih untuk meletakkan seseorang kanak-kanak dalam jagaan salah seorang daripada orang-orang yang tersebut di dalam seksyen itu atau, jika ada hal keadaan yang luar biasa yang menyebabkan tidak diingini bagi kanak-kanak itu diamanahkan kepada salah seorang daripada orang-orang itu, Mahkamah boleh dengan perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan mana-mana orang lain atau mana-mana persatuan yang tujuan-tujuannya adalah termasuk kebajikan kanak- kanak.
(2) Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada-
(a) kemahuan-kemahuan ibu bapa kanak-kanak itu; dan
(b) kemahuan-kemahuan kanak-kanak itu, jika dia telah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri.

PERLU DIINGATKAN BAHAWA MAHKAMAH MEMPUNYAI KUASA UNTUK MEMBUAT PERINTAH BERHUBUNG HAK PENJAGAAN
(3) Adalah menjadi suatu anggapan yang boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan seseorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya, tetapi pada memutuskan sama ada anggapan itu dipakai bagi fakta-fakta sesuatu kes tertentu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukarnya jagaan.
(4) Jika ada dua orang atau lebih kanak-kanak dari sesuatu perkahwinan, Mahkamah tidaklah terikat meletakkan kedua-dua atau kesemuanya dalam jagaan orang yang sama tetapi hendaklah menimbangkan kebajikan tiap-tiap seorangnya secara berasingan.
(5) Mahkamah boleh, jika perlu, membuat perintah interim untuk menempatkan kanak-kanak itu dalam penjagaan mana-mana orang atau institusi atau persatuan dan perintah itu hendaklah serta merta dikuatkuasakan dan terus dikuatkuasakan sehingga Mahkamah membuat perintah bagi penjagaan itu.

Nukilan olehRedzuan Ramli

Follow Us
Ikut