PENDAFTARAN PERKAHWINAN
Perkahwinan dalam Islam merupakan sesuatu yang mulia kerana perkahwinan mempunyai faedah yang besar kepada setiap individu dan masyarakat. Al-Quran mensyariatkan :
فانكحوا ماطاب لكم من النساآء مثنى وثلث وربع
Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai (berkenan hati) dua, tiga atau empat orang.                                                                                                      (an-Nisa’ : 3)



Perkahwinan disyariatkan agar manusia dapat melahirkan keturunan yang soleh, berakhlak mulia, dapat mewujudkan ketenangan dalam jiwa serta dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang tidak bermoral. Namun ramai dikalangan masyarakat Islam yang kurang faham tentang kepentingan pendaftaran pernikahan khususnya bagi umat Islam.
Menurut seksyen 25 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, memperuntukkan  “perkahwinan selepas tarikh yang ditetapkan tiap-tiap orang yang bermastautin dalam Negeri Selangor dan perkahwinan tiap-tiap orang yang tinggal di luar negeri tetapi bermastautin dalam Negeri Selangor hendaklah didaftarkan mengikut Enakmen ini”.
Peruntukkan seksyen 25 jelas menyatakan bahawa pendaftaran adalah wajib ke atas tipa-tiap individu beragama Islam yang bermastautin di dalam negeri Selangor. Pendaftaran perkahwinan boleh didaftarakan sama ada oleh suami atau isteri serta mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah. Hanya Mahkamah Syariah berhak untuk menentukan sahnya sesuatu perkahwinan tersebut berdasarkan segala bukti dokumen yang dikemukakan dan keterangan saksi-saksi yang hadir.
Efek perkahwinan yang tidak didaftarakan :-
1.      Perkahwinan tersebut akan dianggap tidak menepati hukum syarak kerana tidak mendapat kesahihan dari Mahkamah Syariah walaupun adanya sijil nikah dari Negara lain.
2.      Jika salah seorang dari pasangan meninggal dunia, maka akan berlaku kesukaran untuk mendapatkan faraid.
3.      Sukar bagi pihak isteri untuk membuat apa-apa tuntutan di Mahkamah Syariah.
4.      Kesahtarafan anak yang dilahirkan dipertikaikan.
5.      Masyarakat akan meragui status pasangan tersebut.
Adalah menjadi kesedaran bagi pasangan suami atau isteri untuk membuat permohonan pendaftaran perkahwinan agar perkara-perkara yang tidak diingini dapat dihindari. Wassalam.
www.peguamsyariah.com